Isnin, 11 Julai 2011

Pengalaman Baru :)

Coretan kali ni akan berkisar pengalaman baru yang diperolehi sepanjang menjalankan perniagaan secara sambilan. Perniagaan secara online yang pada mulanya hanya sekadar ingin mencuba telah menarik minat aku untuk mendalami lebih jauh lagi. Bermula dari hanya menjual hanger tudung, kini telah beralih kepada peralatan sauna. Alhamdulillah semakin lama perniagaan aku ini bertapak di dunia siber makin mendapat sambutan dari pengunjungnya.

Perkara asas dan paling penting yang aku pelajari dari menjalankan perniagaan ini adalah sifat sabar dan kebergantungan kepada Allah. Sikap sabar dan tidak mudah putus asa adalah sangat penting dalam sesuatu perniagaan. Kadang-kadang kita dilimpahi keuntungan sampai tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan dan kadang-kadang kita berhadapan dengan ketiadaan permintaan langsung. lumrah berniaga ada masa untung dan ada masa rugi. Namun jika sifat sabar kita tinggi dan tidak mudah putus asa dalam keadaan apa sekalipun kita mampu menghadapinya. Sifat kebergantungan kepada Allah juga banyak yang aku pelajari dalam menjalankan perniagaan ini. Kita harus redha dan berlapang dada dengan setiap ketentuanNYA. Rezeki kita Allah telah tetapkan. Kadang-kadang dalam kita risau memikirkan kerugian yang dialami, Allah datangkan bantuan berupa pelanggan yang membuat permintaan jualan kita. Semuanya Allah telah tetapkan dan terpulang kepada kita untuk menilainya.

Seterusnya pengalaman berhadapan dengan berbagai ragam pelanggan. Memandangkan kumpulan sasar produk jualan aku adalah golongan wanita, maka banyaklah kerenah yang perlu dihadapi. Ada yang tiada masalah dan ada yang sangat bermasalah. Apapun semua pengalaman tersebut banyak membantu aku dalam meneruskan kehidupan ini. Semuanya aku perolehi dengan menjalankan perniagaan. kadang-kadang fokus kita hanya keuntungan semata-mata dan hendak mengelakkan kerugian. namun kita terlepas pandang faktor persekitaran yang kadang-kadang banyak memberi ilmu dan panduan kepada kita dalam mengharungi perniagaan. Adakalanya pelanggan dari golongan sederhana dan adakalanya pelanggan dari golongan elite. Apapun semuanya berbalik kepada niat kita. Jika kita ikhlas menjalankan perniagaan dan tiada unsur penipuan InsyaAllah Allah akan bantu kita.

Menjalankan perniagaan online juga mengingatkan aku kepada kenangan lalu. Pekerjaan sebagai budak penghantar Pizza di Kedai Pizza Hut. Pengalaman masa lalu banyak membantu aku untuk berdepan dengan pelanggan-pelanggan jualan online kini. Apa yang membezakan dahulu aku diamanahkan menghantar pesanan orang dan aku hanya makan gaji sahaja. Kini menghantar pesanan dengan produk sendiri. Maksud lainnya aku kini adalah bos kepada perniagaan aku. Jadi semua keputusan, motovasi dan semangat terpulang kepada aku. Fokus haru diberikan supaya aku tidak sumbang langkah dan hilang punca.

Pengajaran lainnya, kadang-kadang kita dimomokkan dengan kejayaan-kejayaan ahli perniagaan untuk dijadikan contoh dan teladan. Pada satu perspektif ianya betul kerana untuk berjaya kita perlu ada role model. dari situ baru kita menanam impian untuk berjaya seperti mereka. Namun dari perspektif lain adakah kita sedar dan mampu untuk mengharungi cabaran yang mereka pernah lalui sebelum mereka merasa nikmat kejayaan tersebut. Kadang-kadang apabila kita dah ada arah tujuan, ada role model dan semangat, namun kebanyakan dari kita ingin melihat hasilnya dengan cepat dan tidak tahan untuk menghadapi cabaran. Di sinilah kebanyakan dari kita tewas. Oleh itu, setiap impian perlulah dimulai dengan menuntut ilmu dalam bidang yang kita impikan. seterusnya dengan pengalaman yang cukup dan ilmu yang mantap kita tidak akan mudah hilang punca dan berputus asa. Malah ianya akan menjadi kita manusia yang tabah dan mempunyai tahap servival yang tinggi.

"I HAVE A DREAM"

Tiada ulasan: