Rabu, 11 Ogos 2010

Ubat hati

Diambil dari artikel blog ustaz amin (http://www.ustazamin.com) untuk perkongsian ilmu bersama.

Motivasi Iman 2 - Ubat hati

Sedar atau tidak ramai di antara kita tidak mempunyai ketenangan hati. Ini kerana mereka mencari ketenangan tidak pada sumbernya. Di anggapnya harta memberi ketenangan, maka diburunya harta, akhirnya harta itu jugalah yang merungsingkannya. Diburunya pangkat, disangka pangkat memberi ketenangan padanya, rupanya, dengan pangkat, lagi tidak tenang, lantaran takut pangkatnya hilang.

Inilah manusia. Allah menyatakan di dalam al-Quran bahawa Allahlah pemilik ketenangan dan Dia hanya memberikannya pada hati orang yang beriman. Mari kita renung, kesilapan mencari tenang dan bagaimanakah ubatnya.

1. Ramai orang mencari ketenangan dengan sifat mazmumah seperti hasad dengki, suka melihat keaiban orang lain, tidak redha. tidak bersyukur dan sebagainya, tetapi hakikatnya, Allah tidak menjadikan pada sifat mazmumah itu ketenangan. Ubat bagi hati seperti ini ialah dengan menanam dan menyuburkan sifat mahmudah

2. Ramai orang mencari ketenangan dengan melakukan maksiat seperti bergaul lelaki perempuan, mendengar muzik dan sebagainya. tetapi hakikatnya, Allah tidak menjadikan pada maksiat itu mendatangkan ketenangan. Ubat bagi sikap seperti ini ialah dengan menggantikan setiap maksiat dengan ketaatan

3. Ramai orang mencari ketenangan dengan memperbanyakkan harta yang tidak tahu apakah sumbernya, hakikatnya, Allah tidak menjadikan pada harta yang haram itu mencukupkan. Ubat bagi hati tamakkan harta sehingga terlibat dengan yang haram ialah dengan mencari dan berusaha kepada harta yang halal

4. Ramai orang merasa puas jika bersikap bongkak dengan manusia. Jika dia berpangkat, boleh tengking orang, boleh arah orang dengan kasar dan dia seolah-olah rasa puas sedangkan Allah tidak akan menjadikan pada kesombongan itu kemuliaan. Ubat bagi penyakit ini ialah melatih hati supaya sentiasa tawadhuk.

5. Ramai orang lalai melayan perasaan sedihnya sedangkan Allah tidak menjadikan pada putus asa itu jalan keluar. Ubat bagi penyaki ini ialah kesabaran

6. Ramai orang yang cuba mencari kepuasan dengan dunia, dicubanya berbagai aktiviti supaya hatinya puas sedangkan Allah tidak menjadikan pada cinta dunia itu kepuasan, ubat bagi hati yang demikian ialah memperkukuhkan hati mencintai Allah. Dua cinta tidak akan duduk di dalam satu hati. Jika seorang telah mencintai dunia, maka cinta Allah payah ingin dirasakan.

7. Ramai orang yang merasa puas jika dia marah-marah sedangkan Allah tidak menjadikan pada marah itu hikmah. Ubat bagi hati dan lidah yang marah ialah menanamkan cinta akhirat. Dengan demikian, rasa tidak puas hati pada dunia akan kurang.

Demikianlah beberapa keadaan hati dan ubatnya, semoga memberi manfaat kepada kita semua, amin...

Sepuluh Sebab Hati Tidak Tenang

Artikel ini diambil dari blog ustaz amin (http://www.ustazamin.com) untuk perkongsian ilmu bersama.

Motivasi Iman 8 - Sepuluh Sebab Hati Tidak Tenang (Siri 1)

Pada kesempatan kali ini kita akan membincangkan mengenai 10 sebab kenapa hati tidak tenang. Ini kerana, sedar atau tidak sebenarnya, ramai orang yang hilang ketenangan hatinya sekalipun duduk di rumah yang besar, berpangkat besar, kereta besar dan mempunyai isteri atau suami yang besar.

Saya banyak bertemu dengan berbagai golongan, dari yang kaya hingga yang biasa. Perkara yang sering ditanyakan ialah:-

"Ustaz, hati saya rungsinglah, tak tahu sebab apa"

Kadang-kala mereka meluahkan,

"saya ni semua ada, tapi tak tahu lah kenapa hati saya tak tenang, Ustaz ada nasihat tak?"

Ini ayat-ayat yang sering saya jumpa. InsyaAllah, kita akan membahaskan kenapa hati tidak tenang. Semoga Allah memberikan saya dan pembaca sekelian ketenangan hati, satu perkara yang tidak dapat dibeli dari kedai sekalipun kita mempunyai jutaan wang.

Ada 10 sebab kenapa hati tidak tenang.

Sebab Pertama

Hati tidak tenang kerana seseorang itu merasa rendah diri pada unsur keduniaan terhadap manusia lain.

Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Perkara ini boleh berlaku apabila seseorang suka membesarkan keaiban dirinya kemudian membandingkan kebahagiannya dengan orang lain.

Hari ini, Allah telah berikan berbagai nikmat padanya. Tetapi dia merungsingkan jerawat yang timbul di mukanya. Dia malu pada jerawat dimukanya. Sedangkan jika dia mengeluh ia tidak merubah apa-apa. Dia malu seolah-olah jerawat itu menghilangkan hidungnya, matanya., dagunya. Dia besarkan keaiban yang ada pada dirinya. Akhirnya hilang ketenangan pada diri. Kemudian dia bandingkan pula dengan muka-muka artis yang ada pada majalah. Ah.. tertekan dengan jerawat.

Hari ini, seseorang malu dengan umurnya telah lanjut, mukanya yang telah berkedut, rambutnya yang telah beruban, kakinya tak cantik, kukunya pecah. Untuk apa kita malu dan besarkan perkara itu. Kita usaha perbaiki tapi jangan rungsing dengan perkara itu. Ia hanya akan membuatkan kita hilang ketenangan.

Hari ini dia kena berhenti kerja, dia malu jika orang lain tahu. Sebab apa? Sebab sebelum ini agak sombong dengan kedudukan yang ada. Untuk apa malu, terima sahaja hakikat dan usaha semaksima mungkin. Berhenti kerja tidak menyebabkan kita mati. Masih banyak lagi usaha yang boleh dibuat.

Hari ini kereta kena tarik, rumah nak kena lelong. Kenapa malu? Itukan harta kita. Kita nak beli atau kita dah tak mampu nak bayar itukan hal kita. Jangan rasa rendah diri. Allah beri kita rumah itu awal untuk rasa selesa sekejap. Hari ini dia tarik untuk kita lebih hargai nikmat itu. Nanti kalau beri lagi Alhamdulillah, kita akan lebih bersyukur. Jangan sebab rumah nak kena lelong hilang ketenangan diri.

Hari ini kita mungkin berpisah dengan isteri, dengan suami, untuk apa malu? Itukan telah berlalu. Bina semula dan jangan rasa rendah diri terhadapa apa yang berlaku.

Kenapa kita selalu rasa rendah diri pada unsur keduniaan terhadap manusia? Kerana kita membandingkan kebahagiaan kita dengan orang lain.

Jangan sekali-kali kita bandingkan kebahagiaan kita dengan orang lain. Orang lain ada rumah besar, kita bandingkan rumah kita yang kecil. Walaupun dia ada rumah yang besar, dia juga ada masalahnya sendiri. Mungkin rumah sahaja besar, tetapi isterinya sering merungsingkannya, mungkin anaknya yang selalu tak balik, mungkin masalah kesihatannya yang teruk.

Semua orang ada masalah, kesamaannya ialah masalah itu menghimpit hati, bezanya ialah bentuknya. Jadi jangan kita rasa rendah diri pada keduniaan terhadap orang lain. Orang lain juga punyai masalahnya sendiri yang kita tidak tahu.

Satu ketika, seorang sahabat telah dileteri oleh isterinya. Dia sangat sedih dan ingin mengadukan perkara ini kepada Saidina Umar r.a. Dia rasakan Umar selaku pemimpin negara sudah tentu dapat menyelesaikan masaalahnya.

Kenapa sahabat ini sedih, kerana dia cuba membayangkan dan membandingkan keadaannya dengan Saidina Umar.

Ketika sampai di rumah Saidina Umar, dia mendengar dari luar rumah, Saidina Umar sedang dileteri oleh isterinya.

Cepat-cepat dia berpaling dan meninggalkan rumah Saidina Umar. Ketika itu Saidina Umar nampak dan menegurnya dan Umar menasihatinya mengenai rumah tangga.

Cuba lihat, ketika kita membanding kebahagaian kita dengan orang lain, maka kita akan membesarkan keaiban diri kita, kita akan menjadi malu, kita akan tertekan, kita rasakan orang lain cukup bahagia.

Sedangkan orang lain juga punyai masalahnya sendiri yang mungkin lebih menekan hidupnya. Kalau bukan sama seperti kita, pasti dalam ruangan yang lain.

Oleh itu, hati tidak tenang apabila kita membesarkan aib diri kita dan bandingkan dengan orang lain.

Kita perlu perbaiki keadaan diri kita tetapi jangan sampai ia membuatkan hati kita hilang tenang.

Ketenangan inilah kebahagiaan. Saya, anda dan semua orang mahukan ketenangan ini, tetapi tidak semua orang berjaya mendapatkannya.

Kerana apa? Kerana sebab yang pertama, selalu mengukur kebahagiaan diri dengan orang lain.

Jadi, terimalah hakikat diri kita sebaiknya, baiki keadaan, terima kekurangan diri, jangan berpura-pura pada orang lain, jangan bandingkan kebahagaian dengan orang lain dan nanti anda akan keluar dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan.

Tarik nafas panjang-panjang hari ini, doa agar Allah beri kita kekuatan untuk menerima hakikat diri dan beri jalan keluar pada permasalaan kita. Mudah-mudahan Allah yang empunya ketenangan, akan menitiskan ketenangan ke dalam hati-hati kita.

InsyaAllah, kita akan sambung seterusnya nanti.

"Motivasi Iman, Ubat Hati Penawar Jiwa"

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah

Isnin, 9 Ogos 2010

Selamat Berpuasa Semua

InsyaAllah jika diizinkan Allah esok kita akan berkesempatan menunaikan ibadat puasa. Tulisan aku kali ini bukan untuk membincangkan tentang ibadat puasa dan kelebihan-kelebihannya kerana aku bukanlah pakar dalam bidang agama untuk menghuraikanya.

Cuma dikesempatan ini aku nak mengucapkan selamat menyambut bulan ramadhan kepada rakan-rakan semua. Jika ada tersalah dan silap harap dimaafkan. Moga ibadah puasa kita kali ini adalah lebih bagus dari ibadah-ibadah puasa tahun yang sudah. Semoga Allah memberkati kita sepanjang bulan ramadhan ini. Ahlan wa sahlan ya ramadhan :)

Kerana Aku Seorang Muslim

Diambil dari email seorang rakan untuk perkongsian bersama



























Selasa, 3 Ogos 2010

Al-Fatihah untuk Arwah sepupuku (Nor Fariza) 01/08/2010

Alfatihah untuk arwah dan salam takziah kepada keluarga arwah.Diharapkan banyak-banyak bersabar kerana semua yang terjadi adalah ketentuan Allah. Kerana setiap yang hidup akan mati akhirnya. Semoga Allah memberkati beliau dan moga diletakkan bersama-sama orang yang solehah.

kepada kita yang masih boleh menyedut udara Allah sama-samalah kita memohon moga kita selalu dihidupkan dalam islam, dimatikan dalam islam, dibangkitkan dengan islam dan masuk ke syurga dengan islam.....amin. Sesungguhnya kematian adalah sesuatu yang pasti berlaku...adakah kita telah bersedia????

Terjemahan Surah Yasin ayat [9] ini sangat terkesan pada aku :

Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).

moga Allah melindungi kita dari fitnah dunia dan terlampau cintakan dunia sampai melupakan akhirat yang pasti akan berlaku. Sebagai seorang islam ikrar kita dalam sembahyang 5 waktu sehari semalam berikut perlu dizahirkan dalam kehidupan.

"Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah"

Tulisan ini bukan ingin menunjuk pandai. Ini Hanyalah nukilan untuk peringatan kepada diri saya sendiri dan kepada mereka yang ingin mengambil peringatan. Jika ada kelemahan dan kekurangan semuanya datang dari saya dan semua kebaikan dan kelebihan adalah datangnya dari Allah

Happy Birthday To Me :) 30/7/2010

Happy Birthday To Me :) 30/7/2010.....pejam celik, pejam celik dah mencecah 30 tahun dah umur aku. Thanks kepada Isteri dan anak-anak (mazwati+Aqilah+Ain) kerana hadiahkan sepasang baju yang cantik serta kawan-kawan yang wish happy birthday dan yang susah-susah sediakan kek. Semoga doa kalian memberkati perjalanan hidup aku. pantas sungguh masa berlalu. Perjalanan masih jauh jika di izinkan Allah.

Sama-samalah kita memohon kepada Allah semoga kita selalu dihidupkan dalam islam, dimatikan dalam islam, dibangkitkan dengan islam dan masuk ke syurga dengan islam..amin.